Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Perak, Terengganu dan Sabah mulai 10 hingga 23 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Perak ia membabitkan Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang.

Kata beliau, situasi semasa kes Covid-19 di kedua-dua mukim itu menerusi pemantauan Kementerian Kesihatan menunjukkan trend meningkat dan setakat ini sebanyak 523 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 3,271 penduduk.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti di Terengganu iaitu dalam Mukim Sura, Dungun, iaitu Rumah Awam Kos rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dikenakan PKPD untuk tempoh yang sama.

Katanya, hasil pemantuan KKM mendapati trend kes telah meningkat dalam tempoh seminggu dan setakat ini sebanyak 28 kes positif direkodkan menerusi saringan yang dilaksanakan ke atas 360 penduduk.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Felda Umas 1,3 dan 4, di Kalabakan; Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu; Kampung Mangkubau Laut, Pitas dan Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu di Sabah turut dikenakan PKPD selama dua minggu.

Kata Ismail Sabri, hasil 29 ujian saringan di Felda Umas 1,3 dan 4, di Kalabakan mendapati 14 daripadanya positif manakala trend kes juga meningkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Tambah beliau, PKPD Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar disebabkan peningkatan kes dan lapan kes positif direkodkan setakat ini di lokaliti tersebut.

“PKPD Kampung Mangkubau Laut, Pitas, dilaksanakan selepas 70 individu dilibatkan dalam saringan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu manakala PKPD Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu, berikutan 14 kes positif terbaharu hasil saringan ke atas 20 individu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette