Annuar Musa Ahmad Zahid Hamidi UMNO withdraws support Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional Supreme Council meeting
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan sesuatu kepada Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa (kiri) semasa hadir pada Ceramah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendakwa ada beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memaklumkan bahawa kenyataan media yang dibaca Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi tidak menggambarkan situasi sebenar mesyuarat semalam.

Katanya, perkara itu didedahkan dalam  perbualan telefon dengan beberapa ahli MKT selepas berakhirnya mesyuarat selama lima jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lewat malam semalam.

“Tinjauan lanjut menyatakan apa yg dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MKT bermesyuarat. Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan, dan ini amat serius,” dakwa bekas Setiausaha Agung UMNO itu.

Semalam, Ahmad Zahid dalam siaran langsung Facebook mengumumkan keputusan MKT  UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendesak beliau meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid berkata, sokongan sejak 11 Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas kerajaan gagal menangani masalah Covid-19, ekonomi dan bebanan rakyat, serta memperkotak-katikkan institusi beraja bagi membuat sidang Parlimen.

Dalam pada itu, Annuar berkata, ramai Ketua UMNO Bahagian (KUB) di seluruh negara yang keliru dengan kenyataan Ahmad Zahid.

“Terdapat juga KUB yg juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT. Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali. Lain dibincang, lain pula dirumuskan,” soal beliau.

Annuar turut berkata, 25 ahli MKT telah mengetengahkan pendapat mereka mengenai pendekatan yang diambil oleh Ahmad Zahid untuk keluar daripada PN.

Katanya, kesemua 25 MKT itu telah memberikan pendapat masing-masing namun tidak disambut.

“Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada consensus yang ketara. Tiada undian dibuat. Malah perbincangan tidak berkisar pada sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan PN, seperti yg dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dipohon dari pertemuan secara berasingan dgn ahli MKT.

“Dalam kata lain, Presiden UMNO wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yg benar. Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua.Tak baik bagi parti kita,” katanya lagi.

MalaysiaGazette melaporkan mesyuarat MKT semalam tegang apabila beberapa MKT mempersoalkan apa rasional untuk parti itu meninggalkan PN. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Dalam kata lain, Presiden UMNO wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yg benar. Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua.

    semasa pergulungan PAU berapi-api ZAHID menipu bukan suaranya@surat dengan ANWARFKUN

    PEMIMPIN2 mana2 PARTI yang terlibat kes RASUAH salahguna kuasa lari cukai tidak amanah MELIWAT masih menjadi PUJAAAN HATI

Comments are closed.