Nia Ramadhani dan suami.

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Indonesia, Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Menurut laporan VOI, penahanan pasangan berprofil tinggi itu disahkan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Polis Metro Jaya, Jakarta Tengah, Yusri Yunus hari ini.

“Kami sedang menjalankan siasatan ke atas kedua-dua suspek di Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat,” katanya

Yusri turut mengesahkan polis menemui dan merampas bahan bukti iaitu methamphetamine.

“Ya, ya (methamphetamine),” katanya menjawab soalan wartawan.

Nia atau nama penuhnya Prianti Nur Ramadhani merupakan aktres yang terkenal melalui pembabitannya dalam sinetron seperti Bawang Merah, Bawang Putih dan filem Suster Ngesot serta Hantu Jembatan Ancol.

Ardi merupakan anak kepada bekas pemimpin tertinggi Golkar serta bekas Menteri Ekonomi Indonesia, Aburizal Bakrie.

Yusri bagaimanapun enggan mengulas lebih terperinci butiran penangkapan itu, termasuk jumlah bahan rampasan.

Katanya, siasatan masih dijalankan terhadap pasangan terbabit dan maklumat lanjut hanya akan didedahkan selepas siasatan berakhir.

Nia sebelum ini sering memaparkan kehidupan serba mewah selepas berkahwin dengan suaminya pada April 2010.

Dia banyak menghabiskan waktunya di rumah tanpa perlu menjalani apa-apa aktiviti. – MalaysiaGazette