Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Secara halus ‘jenama’ UMNO cuba dikambinghitamkan dan seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan di sebalik kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Itu dakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, UMNO tidak boleh memejamkan mata melihat penderitaan rakyat kerana parti itu sendiri datang daripada agenda perjuangan akar umbi.

“Sebilangan besar rakyat hidup sengsara dalam tekanan maha dasyat tidak pernah terjangka. Sehingga ada membunuh diri, mengangkat bendera putih mengharapkan bantuan makanan.

“Apakah UMNO tidak tahu semua ini? UMNO memahami semua ini. Adakah UMNO harus berpeluk tubuh? Memejamkan mata disebabkan kepentingan tertentu? Tidak. UMNO wujud untuk rakyat.

“Maka UMNO bersuara dan terus bersuara tetapi kurang dilayan malah dituduh kuat merungut, bercakap seperti pembangkang, agenda peribadi Presiden UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO juga dituduh main politik sedangkan kerajaan sendiri kekurangan political will untuk menyelamatkan rakyat.

“Sudah terlalu lama rakyat menderita dengan kedudukan ekonomi sangat lembab,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO tetap dengan pendiriannya walaupun terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh.

“Maka UMNO secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar semalam. Kerana UMNO tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara perlu dipulihkan segera,” katanya.

Ahmad Zahid merujuk kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO semalam yang menarik sokongan serta merta terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, katanya, tidak benar sama sekali apa yang diputuskan UMNO semalam kerana dahagakan kuasa.

“Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada. UMNO tidak boleh jadi `pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan PN,” katanya.

UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus, katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast