Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Penyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang diberi diskaun sehingga 50 peratus selama empat bulan bermula Julai ini dalam usaha mengurangkan beban akibat penularan Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 6,237 penyewa, perniaga, penjaja akan menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan negeri itu.

“Ini dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas.

“Dengan pemberian potongan 50 peratus ini juga bermakna, kesemua PBT di negeri ini mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau kira-kira RM5.2 juta untuk selama empat bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

PKRC Azzahra, pusat kuarantin swasta pertama di Pahang

Program pengupayaan digital MYNIC bantu 500 usahawan Pahang

Pahang tambah RM6.03 juta bantu rakyat

Beliau berkata, sebagai contoh, kadar sewaan bulanan terendah sebanyak RM10 bagi petak-petak penjaja di pasar diturunkan kepada RM5.

Jelasnya lagi pengorbanan besar yang dilakukan oleh setiap daerah dapat dihargai dan dimanfaatkan oleh peniaga yang terjejas. – MalaysiaGazette