Para pelajar diberi taklimat SOP yang lebih ketat semasa proses penghantaran pulang.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menguruskan
penghantaran mahasiswa yang telah tamat sesi akademik 2020/2021 ke rumah masing-
masing selepas Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan kebenaran pada 12 Julai lalu.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, seramai lebih
1168 orang pelajar yang terlibat dihantar pulang menggunakan pengangkutan milik
universiti seperti bas persiaran dan van di 16 lokasi pelbagai daerah seluruh negara hari ini.

“Melalui penglibatan pelbagai jabatan universiti seperti Pusat Kesihatan UPSI, Majlis
Mahasiswa Kolej, Majlis Pengetua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Seketeriat Sukarelawan Siswa (SSS) serta diselia urus Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan (ROSH) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEP), urusan penghantaran pulang kali ini berjalan dengan lancar” katanya semasa taklimat urusan penghantaran pulang pelajar di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak.

Pihak universiti mementingkan jaminan keselamatan pelajar dengan menyediakan
prasarana pengangkutan yang lengkap diselenggara serta disanitasi dengan sempurna
sebelum digunakan. Malah setiap pelajar telah diberi taklimat Standard Operation
Procedure (SOP) dan diingatkan untuk memakai pelitup muka, sentiasa memakai kad pelajar serta bersedia dengan surat kebenaran rentas negeri dan dibekalkan cecair pembasmi kuman, tambahnya lagi.

Menurut beliaui, pihak universiti telah melakukan kajian risiko dengan sewajarnya untuk
memastikan keseluruhan keselamatan pelajar terjamin dengan merujuk SOP yang
dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Informasi yang menjalankan fungsi
sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar , Profesor Dr. Suriani Abu Bakar ketika
ditemui berkata, setiap pelajar-pelajar diberi taklimat oleh petugas barisan hadapan
universiti tanpa mengabaikan SOP sehingga tiba ke destinasi.

“Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas barisan hadapan
UPSI yang terlibat terutamanya sukarelawan dari kalangan pelajar kerana menjayakan
penghantaran pulang pelajar dengan pelaksanaan SOP yang ketat,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette