Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat pendedahan ramai lagi wakil rakyat dalam kalangan ahli Parlimen akan disiasat dan didakwa atas tuduhan rasuah dalam masa terdekat.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mendakwa ia merupakan ugutan untuk menarik lebih banyak sokongan ahli Parlimen termasuk blok pembangkang bagi menyokong kerajaan pada sidang Parlimen 26 Julai ini.

Dedah Syed Saddiq, maklumat tentang perkara itu telah diperoleh ketika dirinya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ada yang akan dipanggil esok, ada juga yang sepatutnya dipanggil tetapi terpaksa ditangguhkan. Pesan saya kepada mereka, ahli-ahli Parlimen ini ialah jangan pernah menyerah pada ugutan. Jangan pernah takut, jika benar dan tak bersalah.

“Percaya kepada mahkamah dan hakim akan bersihkan nama kita.

“Jangan biarkan diugut sebelum parlimen disambung semula di mana kita akhirnya akan mula menyokong atau melompat bagi pembangkang. Kita ada prinsip dan maruah.

“Sama ada kerajaan atau pembangkang, jujurlah kepada prinsip anda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai membayar sebahagian wang jaminan sebanyak RM80,000 daripada RM330,000 yang sedang dihadapi olehnya membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM1.2 juta wang milik parti Bersatu.

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut hari ini.

“Dakwaan itu dikatakan berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’ (23 Feb 2020) dan pada April 2018. Saya akan mencabar (tuduhan pecah amanah) dan membersihkan nama saya di mahkamah untuk membuktikan ia bermotif politik,” katanya.

Tambah beliau, banyak pendedahan akan dilakukan pada sesi live platform media sosial Instagram miliknya pukul 8 malam ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah

1 Komen

Comments are closed.