Pesara TUDM, Fazli Suboh bercakap pada sidang media mengenai isu tuntutan gantirugi anaknya, Nur Damia Lutfiah Fazli, yang menghidap saraf otak akibat kecuaian pihak hospital sejak lahirdi Pejabat Mr. Kipidap (MK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Keluarga kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) Nur Damia Lutfiah gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan untuk dibicarakan.

Bapa kepada Nur Damia Lutfiah, Fazli Suboh berkata, mahkamah turut menetapkan keputusan pampasan berjumlah RM2.3 juta pada 14 Januari 2020 pada peringkat Mahkamah Tinggi perlu dijelaskan.

“Kami harapkan ini keputusan yang baik, di peringkat Mahkamah Rayuan sudah selesai. Apa yang kami tuntut adalah duit tuntutan saman, dengan duit itu saya boleh merencanakan apa yang terbaik untuk anak saya.

“Keadaan kesihatan anak saya semakin hari semakin merosot jadi saya mengharapkan pihak yang boleh mempercepatkan tuntutan bayaran saman ini dibuat segera. Saya rayu dipercepatkan,” katanya dalam sidang media Gabongan NGO Seketeriat Veteran Bertindak Malaysia (SVBM) di pejabat Rani Kulup hari ini.

Pada 14 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah memutuskan KKM dan Kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM2.3 juta sebagai kos untuk menguruskan anaknya yang diserang penyakit sawan akibat kelumpuhan saraf otak, berpunca daripada kecuaian pihak hospital.

Malah pihak KKM juga diarahkan untuk membayar kes dan faedah sebanyak RM316,968 kepada keluarga Nur Damia Lutfiah.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah mengatakan sesuatu dengan pesara TUDM, Fazli Suboh (tengah) dan isteri, Umi Al-Khair Fatimah Idris (kiri) bersama anaknya, Nur Damia Lutfiah Fazli (dua kanan) yang menghidap saraf otak akibat kecuaian pihak hospital sejak lahir pada sidang media di Pejabat Mr. Kipidap (MK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2021.
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah mengatakan sesuatu dengan pesara TUDM, Fazli Suboh (tengah) dan isteri, Umi Al-Khair Fatimah Idris (kiri) bersama anaknya, Nur Damia Lutfiah Fazli (dua kanan) yang menghidap saraf otak akibat kecuaian pihak hospital sejak lahir pada sidang media di Pejabat Mr. Kipidap (MK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2021.

Kisah adik Nur Damia yang menghidap saraf otak sejak lahir akibat kecuaian pihak hospital dan kes tuntutan pampasan yang belum diterima kembali tular baru-baru ini di media sosial.

Menurut kertas keputusan kes, Mahkamah Rayuan mendapati tiada kesilapan daripada segi undang-undang atau fakta oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan.

“Rayuan terhadap liabiliti ditolak, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi atas isu liabiliti disahkan. Atas isu gantirugi yang diawadkan, Mahkamah Rayuan mendapatai terdapart kesilapan sebagaimana disahkan oleh Hakim Mahkamah Tigngi dalam Alasan Penghakiman beliau iaitu jagaan sebanyak RM5,520.

“Kedua-dua item ini diketepikan daripada awad yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi. Kes rayuan sebanyak RM50,000 dibayar kepada plaintif-plaintif,” jelas keputusan itu.

Sebelum ini, pasangan Fazli Suboh dan Umi Al-Khair Fatimah Idris meminta perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah dihadapi keluarga mereka.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia itu berkata, beliau kesal dengan keputusan KKM untuk membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan kerana kes itu sudah diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penderitaan 12 Tahun Adik Nur Damia Lutfiah Fazli Menghidap Saraf Otak