PU Rahmat

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Rahmat Ikhsan Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat mendakwa telah menerima beberapa aduan gangguan dan amang seksual dikaitkan dengan pendakwah terkenal.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau berkata, terdapat mangsa-mangsa lain yang juga telah diganggu tetapi mereka tidak berani untuk tampil mendedahkannya.

Ini kerana jelas beliau, pendakwah itu seorang yang popular selain mangsa risau dengan keselamatan mereka.

“Saya Rahmat Ikhsan telah menerima beberapa aduan gangguan dan amang seksual oleh pendakwah terkenal. Perkara ini amat jijik dan memualkan.

“Kami yang belajar agama berpegang kepada prinsip Islam untuk berlaku adil serta membantu orang yang dizalimi dan menzalimi.

“Kami difahamkan ada mangsa-mangsa lain yang juga telah diganggu tetapi tidak berani untuk ke hadapan kerana mereka yang menjadi pemangsa adalah popular dan mangsa risau akan keselamatan mereka,” tulis di hantaran Facebooknya hari ini.

Rahmat juga  menyeru mana-mana individu yang pernah diganggu atau dicabul oleh mana-mana individu yang menggunakan imej agama untuk memanipulasi mangsa untuk tampil ke hadapan dan membuat aduan.

Tegas beliau, pihaknya mempunyai barisan peguam dan asatizah yang sudi membantu kalian para wanita yang dizalimi.

“Sesungguhnya kalian wanita amat tinggi darjat disisi Islam. Yakinlah Masih ada lelaki muslim yang sudi membantu kalian. Yakinlah Islam pembela para wanita,” katanya.

PU Rahmad juga menyertakan nombor talian Whatsapp iaitu 011-7040 4036 untuk dihubungi bagi mereka yang ingin membuat aduan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast