Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah dimaklumkan dan bersengkongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyembunyikan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu, seperti mana yang dimaklumkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang Parlimen pada Isnin lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, parti Melayu itu tidak pernah sesekali membelakangi Raja-Raja Melayu mahupun Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi melakukan tindakan penderhakaan.

“Inilah bukti bahawa UMNO tidak tahu menahu dengan keputusan yang dilakukan oleh Kerajaan PN mengenai pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung.

“Pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang itu merupakan satu keputusan yang membelakangi Yang di-Pertuan Agong dan menjadi satu penderhakaan oleh Kerajaan PN hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat Takiyuddin di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Pada 25 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menggesa semua ahli Parlimen UMNO menyokong usul untuk membatalkan Proklamasi Darurat serta ordinannya dalam sidang khas Parlimen, bermula Isnin lalu.

Menurut Ahmad Zahid, pucuk pimpinan parti itu memutuskan semua ahli Parlimen perlu menzahirkan pendirian parti bahawa Dewan Rakyat mesti membahas dan membatalkan perisytiharan darurat serta ordinannya.

Beliau berkata, pelaksanaan darurat ternyata gagal untuk mengekang dan menangani pandemik Covid-19, malah sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

Susulan perkembangan terbaru itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua Menteri Kabinet meletakkan jawatan kerana tindakan penderhakaan itu.

“Kami menuntut supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan beliau segera bagi mengembalikan semula maruah rukun negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette