Polis menahan 10 lelaki dan dua perempuan warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah kondominium yang dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian di Sri Petaling, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 lelaki dan dua perempuan warga tempatan dalam satu serbuan dan pemeriksaan di sebuah kondominium yang dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian di Sri Petaling di sini, semalam.

Mereka yang berusia 19 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama pegawai makmal Forensik Bukit Aman dan pakar judi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati rumah terbabit dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

“Hasil pemeriksaan dapati 10 lelaki warga tempatan dan dua perempuan warga tempatan berada di dalam rumah bersama beberapa peralatan komputer riba dan telefon bimbit
yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian.

“Hasil serbuan itu, polis merampas dua set komputer, 12 laptop pelbagai jenama, 105 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah modem fiber optik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan di IPD Brickfields dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Semua tangkapan dibawa balik ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut penyiasatan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Polis Brickfields menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette