WASHINGTON – Seorang ahli suruhanjaya kongres menggesa rangkaian hotel, Hilton Worldwide supaya tidak membenarkan namanya dikaitkan dengan projek pembinaan hotel di atas tapak sebuah masjid yang dirobohkan pihak berkuasa wilayah Xinjiang, China dengan menggunakan jentolak.

Dalam sepucuk surat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hilton Worldwide Holdings Inc., Christopher Nassetta; Senator Jeff Merkley (Parti Democratic) dan Ahli Kongres Jim McGovern melahirkan kebimbangan mengenai laporan bahawa Hotel Hampton (hotel di bawah Hilton Worldwide) sedang dibina di atas tapak sebuah masjid yang dimusnahkan di Hotan, Xinjiang pada 2018.

“Tapak ini merupakan lambang kempen kerajaan China melakukan kemusnahan secara meluas terhadap Uighur dan tapak kebudayaan di XUAR (Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang) dan usaha rasmi untuk membasmi agama dianuti dan budaya yang diamalkan kaum Uighur,” menurut surat itu.

Akhbar itu yang memetik Hilton melaporkan, hotel tersebut merupakan pembangunan francais dipantau firma China, Huan Peng Hotel Management yang menyatakan ia telah membeli lot kosong berkenaan pada lelongan awam.

Syarikat tersebut menambah, ia akan ‘mematuhi semua undang-undang tempatan, pihak berkuasa dan standard pembangunan jenama Hilton’.