Pengerusi Otai Reformis, Dr. Idris Ahmad. foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Otai Reformis merayu kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Dr. Idris Ahmad berkata, ia susulan tindakan Muhyiddin yang mendahului kuasa YDPA apabila membatalkan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda yang dilihat sebagai satu penderhakaan.

“Lantaran tingkah laku penderhakaan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini, maka Otai Reformis merafak sembah ke bawah DYMM YDPA agar menggunakan prerogatif DYMM selaraskan dengan Perkara 43 (2) (a) untuk melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Ia bagi mengganti Mahiaddin Md Yassin yang telah hilang kredibiliti dan sikap taat setia kepada DYMM YDPA sebagai Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, YDPA menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Menurut Idris, tindakan Muhyiddin dan Takiyuddin dalam pembatalan Ordinan Darurat itu cuba menafikan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Kuasa untuk menasihati YDPA sama ada membatalkan atau melanjutkan Ordinan-Ordinan Darurat terletak kepada Jawatankuasa Khas Bebas ini, dan bukannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri mahupun Jemaah Kabinet,” katanya.

Otai Reformis 1998 dan rakyat Malaysia turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan PN yang meremehkan titah Seri Paduka agar Ordinan Darurat dibentang, dibahaskan dan diputuskan secara undian di Parlimen berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan ini merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Seri Paduka Baginda yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, lantaran telah membangkitkan rasa amat dukacita DYMM Yang di-Pertuan Agong lanjutan pelanggaran titah Baginda.

“Rakyat jelata menyimpulkan bahawa negara kita ini masih di bawah Perintah Ordinan Darurat tersebut sehingga tamat tempohnya pada 1 Ogos 2021, seperti Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette