KUALA LUMPUR – Peningkatan kes Covid-19 sejak 31 Mei hingga 25 Julai lalu telah menyebabkan pengurangan kutipan darah yang ketara di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma yang tampil menderma.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend penurunan berpunca daripada kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.
“Pendermaan darah perlu diteruskan susulan situasi stok darah semakin berkurang walaupun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.
“Sejak kebelakangan ini terdapat ramai pesakit Covid-19 terutamanya yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.
“Tren penurunan ini amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, purata darah diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 beg darah, termasuklah keperluan di Pusat Darah Negara (PDN) antara 3,500 hingga 4,000 beg darah setiap minggu bagi pembekalan kepada hospital-hospital di Lembah Klang.
“Ia untuk membantu pesakit kecemasan mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang kekurangan darah, pesakit thalasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks,” katanya.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui PDN dan Tabung-Tabung Darah memberi jaminan sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah dan petugas dalam memastikan proses pendermaan darah selamat.
“Setiap tabung darah perlu mematuhi Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Covid-19- Annex 49 untuk meningkatkan keselamatan orang ramai.
“Garis panduan ini telah dikemaskini baru-baru ini selari dengan garis panduan antarabangsa,” katanya.
Jelasnya, antara prosedur operasi standard (SOP) garis panduan itu ialah memastikan penderma darah dan petugas kesihatan sentiasa sihat sebelum memasuki ruang pendermaan darah.
“Ini termasuklah saringan awal yang dilakukan ke atas bakal penderma di mana hanya yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah.
“Petugas kesihatan juga akan memastikan para penderma memakai pelitup muka, menjalani ujian saringan suhu badan, mengimbas kod MySejahtera, pengisian borang deklarasi Covid-19 serta mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer sepanjang berada di lokasi pendermaan.
“Kedatangan penderma ke lokasi pendermaan sentiasa dipantau dan dihadkan kepada bilangan tertentu sahaja pada satu-satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal sewaktu proses pendermaan dipatuhi.
“Selain dari itu, pembersihan meja pendaftaran, peralatan pendermaan darah, katil penderma dan stress ball yang telah digunakan selepas setiap kali pendermaan dilakukan secara berterusan oleh petugas kesihatan untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyeru orang ramai untuk segera tampil menderma darah di Pusat Darah Negara, PDN Donation Suite, Mid Valley Mall, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya dan Tabung-Tabung Darah yang berhampiran, serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang masa.
“Pusat Darah Negara Jalan Tun beroperasi pada Isnin hingga Jumaat bermula 7.30 pagi hingga 8 malam manakala Sabtu dan Ahad pula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
“Pusat Darah Negara Donation Suite, Mid Valley Mall pula beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 6 petang, manakala bagi Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya juga beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
“Orang ramai boleh menghubungi Unit Perhubungan Awam, Pusat Darah Negara di talian 03-26132657/ 2658/ 2776/ 2777 atau e-mel [email protected] bagi maklumat lanjut dan perbincangan perancangan,” katanya. – MalaysiaGazette