IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 206 laporan di seluruh negara setakat ini berhubung perhimpunan ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka yang membantah penangguhan sidang Parlimen pada Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bagi kesemua laporan polis yang diterima itu.

Menurutnya, kesemua laporan yang diterima dari seluruh negara itu sedang disiasat di bawah kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, [P.U.(A) 293], Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736].

“Dalam hal ini, polis akan memanggil individu-individu yang terlibat (ahli-ahli Parlimen) bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Acryll Sani mahu kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, polis mengambil maklum bahawa pada 31 julai 2021, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa
persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menurutnya lagi, penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh kementerian kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat ParlimenĀ  merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Malah pada pada 1 Ogos 2021, PDRM telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

“Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka PDRM telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak sebarang perhimpunan diadakan.

Tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293] bertarikh 4 julai 2021 yang mana berhimpun dan berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, tegasnya.-MalaysiaGazette