KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak menolak kemungkinan siasatan polis secara besar-besaran terhadap peserta dan penganjur Himpunan #Lawan hanya untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mengkritik kerajaan.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sharan Raj mendakwa, bagi tujuan itu, polis digunakan untuk menutup mulut rakyat dan ahli Parlimen pembangkang daripada menyerang kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Apa yang kita lihat sekarang penyiasatan besar-besaran oleh polis bukan sahaja terhadap Himpunan #Lawan malah terhadap ahli Parlimen pembangkang yang telah berhimpun semalam.
“Ini satu intimidasi menggunakan pihak polis untuk menutup mulut rakyat.
“Tan Sri Muhyiddin sedang menjadi seorang diktator dengan menggunakan polis untuk siasat orang awam dan gerakan rakyat bagi mengekang kritikan terhadapnya.
“Betapa banyak sumber polis digunakan untuk menutup Parlimen,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim akan memanggil kesemua 107 ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka semalam untuk dirakam percakapan.
Azmi berkata, pihaknya telah mengenalpasti para peserta dalam Perhimpunan Solariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen itu dan kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.
Sharan juga menggesa Muhyiddin segera berundur daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat sebelum rakyat menghukumnya kelak.
“Kami menyeru Perdana Menteri untuk keluar dari pejabat dia sebelum dia dikeluarkan oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette