Para peserta yang menyertai Persidangan Pemerkasaan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni berjaya menarik penyertaan yang terdiri daripada bekas pelajar intitusi tersebut dari seluruh negara sempena penganjuran Persidangan Pemerkasaan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman baru-baru ini.

Persidangan yang berlangsung selama lebih tiga jam itu merupakan pertemuan antara pihak universiti dengan bekas pelajar membincangkan hala tuju perkembangan hubungan
strategik di antara dua entiti tersebut.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, inisiatif ini
dilaksanakan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara universiti dengan bekas-
bekas pelajar selain mendengar sendiri pendapat alumni untuk melestarikan perkembangan alumni dan universiti.

“Selain memperkukuhkan hubungan alumni dengan universiti, persidangan ini memberi
peluang kepada alumni untuk menyumbang ke arah pembangunan universiti yang lebih
mapan,” jelas beliau ketika ucapan perasmian pada persidangan tersebut.

“Bermula dengan penubuhan jawatankuasa alumni di setiap negeri yang disusun sejak
beberapa bulan lalu, hari ini setiap jawatankuasa telah menghantar wakil untuk
membentangkan usul kepada lima buah pecahan merangkumi aspek kebajikan, akademik, infrastruktur, kewangan dan juga pengurusan data alumni.

”Menerusi usul-usul ini juga,  pihak universiti akan memberi pertimbangan lalu merealisasikan sewajarnya,” tambahnya lagi yang juga merupakan bekas pelajar kohort pertama program Sains Sukan apabila UPSI ditubuhkan pada tahun 1997.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar yang turut hadir ketika persidangan tersebut berkata pihak universiti telah melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk faedah pemotongan yuran pengajian pasca siswazah sebanyak 15 peratus kepada bekas graduan yang melanjutkan pengajian di pusat pengajian tersebut.

“Selain itu bekas penuntut turut menikmati faedah potongan diskaun kadar sewa
penggunaan prasarana universiti serta pembelian buku dan barang dagangan terbitan
universiti. Bukan itu saja, Pusat Alumni UPSI misalnya telah menjalankan pelbagai inisiatif

seperti pelaksanaan program, pengiktirafan, pengurusan data serta penerbitan untuk
melestarikan perkembangan alumni,” jelasnya.

Inisiatif persidangan ini merupakan salah satu daripada petunjuk-petunjuk prestasi utama
pusat tanggungjawab tersebut di bawah pelan keenam daripada sepuluh indeks iaitu
‘Merealisasikan Projek Inovasi Alumni’. – MalaysiaGazette