Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

SHAH ALAM – Pas menjunjung kasih titah Sultan Selangor atas keprihatinan baginda berhubung peningkatan kes rasuah dan kelewatan kes disebabkan penangguhan yang tidak mempunyai sebarang alasan kukuh.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu perlu menjadi asas kesungguhan kerajaan negeri untuk membanteras amalan rasuah.

Beliau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk orang politik atau penjawat awat yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu.

“Banyak prosedur terutamanya perolehan kerajaan yang harus diperbaiki agar tidak mendedahkan sesiapapun kepada amalan rasuah terutama penjawat awam dan ahli politik.

“Keprihatinan baginda terhadap gejala rasuah ini diharap dapat menjadikan Selangor sebuah negeri berintegriti dan contoh terbaik kepada negeri lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dalam pertemuan itu, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes rasuah khususnya di negeri itu.

Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu itu dan berharap SPRM dapat melakukan siasatan telus dan teliti supaya pelaku dihadapkan ke mahkamah dan tidak terlepas dengan mudah.

Dr. Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang berkata, tidak ada kompromi dalam menangani isu rasuah.

Katanya, integriti adalah teras kemajuan sesebuah negara, sama ada gejala rasuah atau salah guna kuasa sekiranya tidak ditangani dengan baik tentunya negara akan hancur.

“Tidak perlu untuk kita ungkit amalan rasuah yang pernah berlaku di Selangor, yang penting sejauh mana kes rasuah ini dapat dibanteras dan menjadi pengajaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast