Minister of Higher Education, Datuk Dr Noraini Ahmad. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 03 JUNE 2021. resigns UMNO
Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini meletakkan jawatan selaku Menteri Pengajian Tinggi berkuatkuasa serta merta.

Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu, keputusan itu diambil kerana akur akan keputusan parti untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan
Persekutuan.

“Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini menjadi menteri kedua daripada UMNO yang bertindak meletakkan jawatan selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatannya pada Selasa lalu.

Shamsul Anuar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

Dalam pada itu, Noraini turut berkata, dirinya akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan Kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas,” katanya lagi.

Untuk rekod, Noraini tidak hadir dalam sidang media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama 30 lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Sidang media itu dibuat bagi menyatakan pendirian mereka untuk menyokong kerajaan PN sehingga satu usul undi percaya terhadap Muhyiddin dilaksanakan. – MalaysiaGazette