KUALA LUMPUR – Bukan mudah mengurus penularan pandemik Covid-19 dan dalam masa sama terpaksa berhadapan pula dengan lawan politik yang setiap hari membuat perancangan untuk menjatuhkan kerajaan serta menggagalkan usaha pemulihan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail berkata, bagi memastikan kestabilan politik negara, pemimpin politik perlu reset semula perselisihan serta mencari titik persamaan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh sahaja meletak jawatan dan membiarkan semua menjadi cacamarba kerana beliau sudah menjadi perdana menteri iaitu tahap tertinggi dalam karier politik. Menghiraukan semua kekusutan.
“Namun, perdana menteri telah mempamerkan kematangan tinggi untuk tidak memberi tumpuan kepada soal politik kuasa semata-mata kerana merasakan rakyat sudah cukup muak dengan pertelingkahan tidak berkesudahan.
“Beliau jarang menyerang balas atau memberi respons desakan politik dari mula mengambil alih kepimpinan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu juga berkata, sudah tiba masa ahli-ahli Parlimen berfikir dan bertindak untuk memaksimumkan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pandemik yang semakin merisaukan.
“Rasanya tidak salah untuk melihat satu gabungan politik baharu yang lebih menyakinkan rakyat sebelum PRU-15. Kini tiada lagi kumpulan bermasalah dalam PN, cuma perlu segera dicaturkan penambahan ahli Parlimen lain sama ada individu mahupun kumpulan parti.
“PN bersama UMNO (Kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Pas, GPS, Pejuang, Warisan dan sebahagian Amanah. Ini adalah percaturan bukan sahaja menarik untuk difikirkan tetapi sangat kritikal untuk diselesaikan.
“Yang pasti kumpulan yang membuat usul undi tidak percaya juga akan saling bercakaran apabila hendak memilih siapa perdana menteri baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette