Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Aspek kebolehpasaran graduan perlu diberi perhatian serius oleh setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam usaha meningkatkan reputasi peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata aspek itu berkemungkinan besar akan diambil kira sebagai satu elemen penting dalam penarafan universiti dunia pada masa akan datang.

Beliau berkata, mengikut perspektif masyarakat, kualiti akademik yang baik tidak boleh dipisahkan dengan kebolehpasaran graduan kerana dua perkara itu berkait rapat.

“Walaupun sesebuah IPT berada dalam kelompok satu peratus terbaik dunia, namun jika graduannya sukar mendapat pekerjaan, itu tidak menterjemahkan kualiti sebenar di mata umum.

“Kebolehpasaran graduan pula tidak hanya memfokuskan graduan sebagai pencari kerja, tetapi juga sebagai pencipta peluang pekerjaan dan pasarannya luas bukan hanya tertumpu di dalam negara sahaja, justeru potensinya sentiasa boleh ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di webinar bertajuk ‘Pengajian Tinggi dan Norma Baharu: Ekonomi, Kebolehpasaran dan Kelestarian Pendidikan’ anjuran AppliedHE Malaysia Xchange dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan Sunway di sini, baru-baru ini.

residen Kumpulan Pendidikan Sunway, Prof Sibrandes Poppema (tengah) bertindak selaku moderator pada webinar berkenaan.

Webinar itu turut disertai CEO Kumpulan Pendidikan Sunway, Prof Elizabeth Lee; Pengasas dan CEO AppliedHE Singapura, Mandy Mok; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman; Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Akademik University of Europe for Applied Sciences Germany, Prof Dr Maurits van Rooijen.

Mohammad Shatar berkata, bagi melonjak kebolehpasaran graduan, MQA sentiasa menitikberatkan aspek jaminan kualiti untuk IPT di Malaysia, namun aspek itu sahaja belum mencukupi.

Katanya, dalam dunia VUCA yang merujuk volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas) kini, banyak suntikan nilai tambah perlu dilakukan oleh IPT.

“Misalnya, penguasaan bahasa ketiga dengan baik dalam kalangan graduan, kerjasama dengan pihak berkaitan seperti industri dan agensi lain di dalam serta luar negara untuk menambah baik program akademik ditawarkan supaya sentiasa relevan.

“Dalam usaha melestarikan pendidikan tinggi Malaysia dan selari dengan hasrat untuk menjadi hab pendidikan global, kita perlu pastikan kebolehpasaran graduan sebagai komponen penting dalam budaya IPT tempatan supaya apabila elemen ini dinilai dalam penarafan universiti dunia, kita sudah bersedia,” katanya. – MalaysiaGazette