Penduduk, Zarina Mohd (tengah) bersama adik, Zulraidah Mohd dan anaknya, Ili Atiqah Shahruddin yang sudah menerima dua dos vaksin menonton Perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sejurus selepas mengumumkan kelonggaran bagi individu yang sudah lengkap vaksinasi, kerajaan turut memberi gambaran perkara yang sama berkaitan sektor ekonomi juga akan diumumkan pada masa terdekat.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ini pihak berwajib sedang  dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Melalui pengumuman kelonggaran itu tidak bermakna rakyat boleh memandang remeh atau mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Jelasnya, kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, kerana lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus Covid-19.

“Saya telah arah Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 bagi memastikan kementerian-kementerian serta agensi  bertanggungjawab mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan juga pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.

“Saya ingin tegaskan setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan diberikan.

“Ini bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat.

“Individu , ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini,” katanya dalam perutusan khas bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap sebentar tadi.

Dalam pada itu, kata Muhyiddin, jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko.

Ini termasuk kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Boleh rentas daerah, dine in jika terima vaksin lengkap di negeri Fasa Dua PPN – PM