IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggotanya yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Silk arah Kajang ke Putrajaya di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mewakili warga PDRM berasa sedih dengan kejadian menimpa dua anggota polis terbabit dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.

“Sememangnya tugas sebagai anggota penguatkuasaan undang-undang ini penuh dengan cabaran dan risiko yang tinggi. Namun ia tidak akan melunturkan semangat untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani juga mengingatkan jalan raya bukan tempat untuk berlumba dan melakukan aksi-aksi membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua anggota polis lelaki yang menjalankan operasi samseng jalanan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Silk arah Kajang ke Putrajaya awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berpangkat Sarjan menunggang motosikal dari arah Kajang ke Putrajaya.

Siasatan awal polis mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau bertembung dengan motosikal ditunggang anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D4 IPD Kajang berpangkat Konstabel.

Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang sedang bersama-sama terlibat dalam tugas Operasi Samseng Jalanan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua anggota polis IPD Kajang maut kemalangan