Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berucap di siaran langsung Majlis perasmian Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) peringkat Daerah Kuala Selangor ketika di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2021.

TANJONG KARANG – Sudah sampai masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memudahkan rakyat menjalani aktiviti harian termasuk bersukan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, jika SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) diteruskan, tindakan kerajaan itu hanya menyebabkan rakyat bertambah panik akibat banyak aktiviti dan pergerakan disekat.

“Saya banyak terima rungutan yang kita dapat tak boleh bersukan dan sebagainya. Mungkin kerajaan boleh perkenalkan SOP baharu selain daripada pemberian vaksin telah pun dibuat.

“Mesti ada pendekatan baharu, kalau kita terus buat macam ini, kita langsung panik, kita tak boleh bergerak,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang hari ini.

Noh berkata, bagi tujuan itu, kerajaan mungkin boleh membenarkan orang ramai menggunakan fasiliti sukan termasuk dewan dan gimnasium dengan mensyaratkan ujian saringan Covid-19.

“Kita sedia maklum vaksin ini untuk jaga diri kita, tetapi ia tidak beri jaminan vaksin ini sebagai pembawa virus. Untuk memastikan tidak membawa virus, bila nak buat sukan atau sesuatu program sukan, kita minta siapa nak masuk dalam dewan, pergi gimnasium dan sebagainya, dia kena buat ujian saringan.

“Sekarang ujian saringan lebih mudah lagi, sudah dijual di farmasi dan buat sendiri dan boleh disambungkan dengan MySejahtera,” katanya.

Jelasnya, ujian saringan Covid-19 perlu dijadikan pasport bagi menggantikan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memudahkan ramai bersukan.

“Saya nak tekankan supaya ujian saringan ini macam pasport, nak pergi mana pun, nak masuk dewan, tunjuk saya dah negatif (ujian saringan).

“Mungkin dalam tempoh ujian saringan itu boleh diiktiraf, terpulang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia mungkin tujuh hari.

“Nak bersukan, masuk dewan, boleh tunjuk dulu ujian saringan bebas, tambah pula yang ada 2 dos vaksin. Saya harap kegiatan-kegiatan sukan akan dapat kita teruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast