Penaung Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru, Tan Sri Sharir Samad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Badrol di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU -“Siapa sangka Covid-19 mengakibatkan saya kehilangan kerja dan terpaksa mengisi perut dengan apa yang ada sahaja.”

Itu luahan bekas pencuci kereta yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU), Badrol Hisham Ahmad Zabil.

Bapa berusia 59 tahun itu mengakui sejak pandemik, keluarganya tidak mementingkan sama ada makanan sedap atau tidak sebaliknya makan asalkan kenyang.

Menurutnya, dia memiliki empat orang anak di mana salah seorangnya ada masalah lembam dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang.

Beliau menjadi OKU sejak kehilangan tangan kanan dari paras siku ke bawah pada tahun 1995 akibat terbabit dalam kemalangan.

Kini beliau terpaksa bergerak dengan menggunakan tongkat berikutan mengalami masalah lutut sejak beberapa bulan lalu.

Badrol Hisham Ahmad Zabil

“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang cuci kereta di sebuah syarikat menjual kereta di Larkin selama enam tahun dan memiliki pendapatan tetap.

“Keluarga agak susah kerana anak-anak baru bekerja termasuk berniaga piza dan burger selain sepanjang pandemik ini kami terpaksa berjimat termasuk dalam soal pemakanan.

“Namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya anak-anak berusaha mengubah nasib keluarga selain kadang-kala ada pihak yang menghulurkan sumbangan barangan makanan selain Majlis Agama Islam Johor turut membantu meringankan beban keluarga.

“Harapan saya adalah situasi kembali pulih selain saya diberi kesihatan baik bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin,” katanya.

Badrol Hisham antara 1,300 keluarga yang menerima bantuan makanan basah dan kering menerusi Bantuan Food Bank Pasaraya Songmart Sri Stulang dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) cawangan Johor Bahru.

Sumbangan disampaikan oleh Penaung Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru, Tan Sri Sharir Samad.

Hadir sama, Pengurus Cawangan Pasaraya Songmart, P. Manivannan dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru, Faridah Mustafa.

Bantuan berbentuk barangan keperluan harian sebanyak lima tan itu diberikan kepada penerima yang terjejas akibat pandemik berkenaan termasuk golongan warga emas, fakir miskin dan OKU.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast