Saturday, April 27, 2024
Home Seni Hidup Allah terlalu sayangkan ibu: Shuib terharu solat jenazah ghaib Siti Sarah di...

Allah terlalu sayangkan ibu: Shuib terharu solat jenazah ghaib Siti Sarah di Masjidil Haram

Pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu menerima kiriman video solat jenazah di Masjidil Haram buat Allahyarhamah isterinya.

Pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu menerima kiriman video solat jenazah di Masjidil Haram buat Allahyarhamah isterinya.

Kredit : Shuib Sepahtu

#MalaysiaGazette

Posted by Malaysia Gazette on Monday, August 9, 2021

KUALA LUMPUR – Berjuta rakyat Malaysia menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dari Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia ke Tanah Perkuburan Sg Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, semalam.

Ramai yang luluh air mata dan terkesan jiwa biar pun mungkin mengenali anak seni berusia 36 tahun itu dari jarak jauh atau menerusi televisyen dan sosial media.

Doa yang diutuskan buat Siti Sarah jugak tidak pernah putus sejak Allahyarham yang sarat mengandung tujuh bulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana dijangkiti virus Covid-19.

Limpahan doa, tahlil dan solat hajat demi Siti Sarah menjentik perasaan suami Allahyarham iaitu Shuib yang mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memudahkan perjalanan terakhir isteri yang disifatkan sebagai bidadarinya itu.

Artikel berkaitan:

Ternyata Allahyarham Siti Sarah memiliki keistimewaan tersendiri yang tidak mampu dirungkaikan satu persatu kerana terlalu banyak namun tergambar apabila limpahan doa mengiringi pemergiannya meninggalkan empat cahaya mata.

Hari ini Shuib berkongsi berita yang amat menyentuh perasaan mengenai solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Siti Sarah turut dilangsungkan di Masjidilharam Kota Suci Mekah.

“Allahuakbar, Allah Maha Besar. Dapat kiriman video solat ghaib jenazah dalam Masjidilharam, Allah terlalu sayang ibu. Bergembiralah di syurga bidadariku Siti Sarah,” tulis Shuib dalam hantaran di sosial media termasuk Twitter.

Perkongsian Shuib itu mendapat 11,520 komen ketika berita ini ditulis termasuk dalam kalangan anak-anak seni tanah air dan para agamawan.

Rata-rata menyifatkan Allah amat menyayangi Siti Sarah dan masing-masing mencemburui pengakhiran Allahyarham yang sangat baik.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia semalam selepas bertarung nyawa melawan Covid-19 dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan menerusi pembedahan. – MalaysiaGazette