KUALA LUMPUR – Kisah lelaki orang kelainan upaya (OKU) meminta bantuan yang tular di laman sosial adalah isu berulang sejak tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusof berkata, kisah tersebut disahkan oleh lelaki berkenaan setelah Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor bersama Eksekutif Operasi Agihan Daerah Hulu Langat bertemu dengannya semalam.

Katanya, kisah tersebut tular pada 2018 apabila lelaki tersebut menerima rawatan di sebuah hospital bagi memotong kedua-dua belah kakinya akibat menghidap kencing manis dan ada individu simpati melihat keadaannya.

“Hasil pertemuan malam ini (malam tadi), pemuda ini menjelaskan semua perkara pada kami. Beliau tidak mengetahui mengapa kisahnya sering ditularkan walaupun ianya isu lama. Dan sehingga kini jumlah sumbangan yang telah diperolehi dalam akaunnya melebihi RM100 ribu ringgit.

“Setiap kali kisahnya tular, akaun banknya akan dibekukan kerana transaksi aliran wang masuk sangat banyak. Dan kini kehidupannya serba selesa bahkan lebih daripada cukup,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, lelaki OKU tersebut juga sudi membuat satu kenyataan video bagi memohon pada semua masyarakat dan warganet agar menghentikan perkongsian info mengenainya.

Katanya, semua sumbangan yang diterima selama ini sangat mencukupi dan dia juga dibantu oleh ahli keluarganya yang lain.

“Oleh yang demikian, kami sampaikan kisah sebenar buat anda semua. Rujuklah dahulu pada kami atau badan bertanggungjawab yang lain sebelum menyebarkan sesuatu info seperti ini.

“Isu sumbangan yang telah diterima adalah tanggungjawab pemuda ini dan pihak kami tidak boleh mencampuri urusan tersebut. Bersama kami membantu mustahiq, sedikit bagi anda segalanya buat mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast