Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperincikan mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan bagi kelonggaran yang diberikan kepada penerima dua dos vaksin seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Ini berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kelonggaran itu tetap mengundang risiko kepada peningkatan kes Covid-19 yang tetap diteruskan walaupun kerajaan menyedari kesannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerima dua dos dikatakan masih boleh menjangkiti dengan kadar kebolehjangkitan kes positif sebanyak 50 peratus.

Ini bermakna mereka yang belum divaksin berisiko mendapat jangkitan daripada penerima dua dos yang tidak menunjukkan gejala ketika melancong dan sebagainya, katanya.

“Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu itu memberi jaminan agensi bertanggungjawab akan mempergiatkan aktiviti pemantauan ke atas kelonggaran diberikan.

“Bagaimanapun, beliau tidak nyatakan secara jelas bagaimana mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan itu akan dipergiatkan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, jangkitan Covid-19 tetap bertambah di sebalik aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, darurat dan total lockdown.

Kata beliau, sebagaimana dimaklumkan beberapa hari lalu, cuma 65.6 peratus individu dewasa telah menerima dos pertama vaksin dan hanya 35.3 peratus individu dewasa lengkap dua dos.

Justeru, katanya, wajar ada perincian mengenai mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan yang rapi lagi jitu untuk melindungi mereka yang diberi kelonggaran dan orang di sekeliling mereka.

“Kita juga khuatir mengenai kelonggaran diberi kepada pengembara warganegara dan bukan warganegara dari luar negara yang telah lengkap dos vaksin menjalani kuarantin di rumah.

“Kerajaan sepatutnya berasa bimbang mengenai kemungkinan ancaman varian lain seperti Delta Plus, Lambda atau varian lain yang telah dikesan di negara lain.

“Sewajarnya Malaysia tidak berkompromi dalam perkara ini kerana varian sedia ada sudah begitu banyak mengorbankan nyawa rakyat Malaysia,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu bimbang pengumuman kelonggaran itu cuma satu lagi pendekatan populis yang terdesak maka terkurang mengambil kira aspek terpenting.

Jelas Ahmad Zahid, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menggesa kerajaan menangguhkan kelonggaran itu sehingga jumlah kes positif berkurangan dengan ketara.

“MMA kata, sebarang keputusan untuk memberi kelonggaran itu perlu disokong bukti saintifik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast