Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menganggap kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi adalah pengakuan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat untuk mengekang penularan Covid-19.

Majlis Presiden PH berpendapat, walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran berkenaan namun
peringatan dari pakar kesihatan awam berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

“Ini termasuklah menambah peruntukan bagi rawatan Covid-19 khususnya meningkatkan jumlah katil ICU, pemekat oksigen, menjalankan saringan ujian secara awam mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu Find, Test, Trace, Isolate and Support plus vaccination (FTTIS+V) serta lain-lain
keperluan di negeri-negeri Fasa 2 sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu,” kata kenyataan hari ini.

Kenyataan Majlis Presiden PH ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahi, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH juga menekankan jumlah vaksin dos pertama di negeri-negeri wajib dipertingkat segera sebelum Hari Merdeka pada 31 Ogos ini terutama di Sabah yang merupakan negeri-negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.

“Memandangkan virus Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan (droplet) atau aerosol, kami berpandangan SOP pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikemaskini dan dikuatkuasa dengan lebih tegas.

“Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi. Kerajaan juga harus membantu premis-premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin juga perlu memastikan kesemua pekerja mereka telah menerima sekurang-kurangnya vaksin dos pertama,” ujar mereka.

Justeru PH mengulangi pendirian kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan secara langsung yang lebih besar iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian serta membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP atau total lockdown sejak 1 Jun lalu.- MalaysiaGazette