KUALA LUMPUR – Pas Johor menggesa Pakatan Harapan (PH) menghentikan sandiwara politik, sebaliknya berganding bahu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membanteras penularan wabak Covid-19 demi menyelamatkan rakyat.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas negeri, Rusman Kemin berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan PH perlu menjadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab.
Katanya, berhentilah daripada memperbodohkan rakyat dan jadilah politikus yang baik dan matang.
“Mereka harus menerima kebaikan walaupun datang daripada musuh dan tolaklah keburukan walaupun datang daripada kawan kita sendiri.
“PH sebelum ini hanya bersandiwara dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengikut selera mereka sahaja.
“Jika tidak kena dengan selera, mereka akan tentang, malah menuduh kerajaan PN tidak menghormati titah baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Rusman, pada 25 Oktober tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong pernah menolak darurat yang dicadangkan kerajaan, yang mana PH menyambut baik dan memuji baginda atas keputusan itu.
Menurut beliau, kerajaan pula ketika itu menerima titah Yang di-Pertuan Agong dengan lapang dada.
Namun, tegasnya, apabila baginda telah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 11 Januari lalu dalam suasana wabak Covid-19 kian kritikal, PH pula tidak boleh mentaati dan menghormati keputusan itu, bahkan mencabar tuanku. – MalaysiaGazette