Ibu, Siti Farrizah Ishak melihat anak-anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan sekolah yang diarah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Apartment Lakeview, Batu Caves, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang
bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya. (Sabda Rasulullah s.a.w). Anak-anak yang luar biasa tidak lahir dengan sendirinya. Mereka dilahirkan, dibesarkan, dan diberikan didikan oleh ibu bapa yang hebat juga.

Rumah sebagai madrasah

Sejak dilahirkan, anak-anak diberikan perlindungan dari segala marabahaya dan dalam masa yang sama dididik dan diajar kemahiran asas survival (kelangsungan hidup) di rumah. Anak-anak dilatih untuk mengemas bilik tidur sendiri, membuang sampah, mencuci pinggan, membasuh baju, menyidai dan melipat kain, menggosok baju, menguruskan masa dan bermacam-macam lagi. Kemahiran yang dipelajari ini nampak biasa tetapi sangat berguna demi kelangsungan hidup anak-anak bila mereka semakin meningkat dewasa.

Rumah menjadi sekolah dalam usaha membina karakter anak-anak. Terbentuknya karakter anak-anak bermula dari rumah hasil didikan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa. Rumah juga merupakan sumber pendidikan pertama anak-anak. Anak-anak belajar pelbagai ilmu pengetahuan yang pertama dari rumah sebelum mereka melangkahkan kaki ke sekolah.

Anak-anak belajar untuk menghormati orang lain, mengikut peraturan rumah yang telah
ditetapkan, bertolak ansur dengan ahli keluarga di rumah, dan membantu ibu bapa. Didikan ini akan membentuk karakter dan sahsiah anak-anak yang akan di amalkan sepanjang kehidupan mereka.

Ibu bapa adalah pendidik

Dalam membesarkan anak-anak, selain menyediakan keperluan asas seperti makanan,
minuman, pakaian dan sebagainya, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya memainkan
peranan sebagai pendidik dalam membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak. Dalam usaha memanusiakan seorang anak, semua ajaran agama amat menitikberatkan pendidikan nilai moral yang tinggi dalam kehidupan seharian.

Sesungguhnya, kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya memang tiada tolok-bandingnya. Oleh itu, dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak, sudah semestinya ibu bapa akan menyediakan pendidikan yang terbaik. Ibubapa mengasuh dan mendidik anak-anak dengan ilmu keibubapaan dan ilmu agama yang berguna sepanjang zaman.

Tidak kurang juga semakin ramai ibu bapa pada zaman kini yang memiliki kelayakan yang tinggi dalam akademik. Ia menjadi bonus kepada anak-anak untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa yang kurang berkemampuan juga tidak terkira pengorbanannya dalam menyediakan keperluan untuk pelajaran anak-anak mereka.

Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR)

Umum mengetahui sejak seluruh dunia dilanda wabak Covid-19, anak-anak tidak dapat ke sekolah seperti kebiasaannya. Sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dari rumah melalui pelbagai medium perantara. Dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran, ibu-bapa harus terus memainkan peranan sebagai pendidik di rumah.

Ibu bapa berperanan memberikan sokongan moral yang tinggi kepada anak-anak, memperuntukkan masa khas untuk membantu anak-anak dalam pelajaran, menyediakan kemudahan dan ruang belajar mengikut kemampuan, membantu anak-anak menguruskan masa untuk belajar, dan memberikan ganjaran yang sewajarnya.

Justeru, dalam mendepani cabaran pada saat yang gentir ini, ibu bapa merupakan tunggak utama untuk memastikan anak-anak yang dipinjamkan sementara di dunia ini dilindungi sebaik mungkin, dicurahkan kasih sayang sepenuhnya dan dididik dengan ajaran yang terbaik.

Semoga corak yang ibu-bapa warnakan dalam lembaran putih kehidupan anak-anak
menjadi corak yang terindah buat mereka. Apa yang kita semai dan tanam pada hari ini, itulah yang kita tuai pada hari esok.

Nursyuhada Ab Wahab
English Language Unit
Faculty of Major Language Studies
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast