Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada jalan yang boleh mengatasi penularan Covid-19 selain pengambilan vaksin.

Jelasnya, dengan hanya mengambil suntikan vaksin maka seseorang individu akan dilindungi daripada kesan buruk akibat Covid-19.

“Satu cara yang penting ialah suntikan vaksin. Cuba dapat suntikan secepat mungkin. Kita lebih selamat jika disuntik. Ini sahaja cara menyelamat kita. SOP menolong tetapi vaksin lebih mampu selamat kita.

“Ya, memang menekan semua ini. Tetapi jika kita tidak sanggup mengalami kesusahan, keadaan akan jadi lebih teruk dan ramai yang akan dijangkiti dan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Dr. Mahathir berkata, setiap warga negara ini harus berfikiran bahawa pandemik ini adalah sesuatu yang serius dan bukan perkara yang remeh.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa mereka perlu mengambil segala kaedah dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengurangkan kes baharu.

“Sehingga kini sudah 12,000 orang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19. Ramai yang tidak dapat dirawat di hospital dan menjadi teruk dan meninggal. Ramai yang tak dapat makan, jauh sekali dari pendapatan.

“Memang menekan apabila mengamal prosedur operasi standard (SOP). Memang sukar untuk patuh arahan memisah diri dengan jauh dari orang lain sepanjang masa, memakai pelitup muka, membasuh tangan. Memang sukar untuk tidak ke pasar dan lain-lain.

“Tetapi jika tidak sanggup mengamal arahan ini, lebih ramai akan dijangkiti, dan maut setiap hari,” katanya lagi.

Sehingga semalam jumlah kes keseluruhan Covid-19 adalah 1,616,244 kes dengan 22,642 kes direkodkan pada Rabu.

Dalam pada itu, sejumlah 265 kes kematian melibatkan 219 warganegara dan 46 bukan warganegara yang menjadikan kes keseluruhan korban Covid-19 adalah 14, 818 kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast