Berdasarkan trend harian kes COVID-19 di Sabah, diramalkan jumlah kes akan tetap meningkat dalam 2-3 minggu akan datang.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited mengoptimumkan penggunaan kemudahan, sumber tenaga dan kepakaran yang ada di universiti untuk menggerakkan dan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, hanya dengan pelaksanaan PICK secara menyeluruh mampu menangani peningkatan kes yang semakin meruncing di negeri Sabah.

”Bagi menjayakan PICK, Pusat Pemberian Vaksinasi Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UMS telah memberikan suntikan vaksinasi sebanyak 83,059 dos vaksin Covid-19 kepada orang awam sekitar Kota Kinabalu sejak dibuka pada 14 Jun lalu.

”Kita tidak mahu membiarkan ada masyarakat yang belum divaksin kerana kita khuatir mereka akan membawa jangkitan dalam komuniti, dan ini yang menjadi kerisauan kita,” katanya.

Menurut Taufiq, melalui pemberian vaksinasi kepada orang ramai situasi Covid-19 di Sabah dijangka lebih terkawal sebagaimana yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan yang telah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa dan mencatatkan trend kes positif Covid-19 harian kepada satu digit secara konsisten.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, vaksinasi adalah kaedah paling berkesan bagi mengatasi peningkatan kes positif Covid-19 harian di Sabah yang telah mencecah melebihi 3,000 sehari.

”Oleh itu, tidak terhad hanya di PPV, kita juga telah menggerakkan kakitangan untuk melaksanakan program outreach vaksinasi mobile di kawasan kampung serta kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) agar penduduk di kawasan berkaitan menerima suntikan vaksin.

Ujar beliau, program vaksinasi adalah jalan keluar dari belenggu pandemik Covid-19 yang telah lebih setahun menjejaskan kehidupan normal masyarakat.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam FPSK, Prof. Madya Dr Richard Avoi memberitahu, berdasarkan trend peningkatan kes pada bulan Mei dan Jun, berkemungkinan kes akan terus meningkat dengan andaian lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan ketika kurang kawalan pergerakan sosial dan liputan vaksinasi yang masih rendah.

Katanya, ini merupakan satu cabaran untuk mengekalkan kelangsungan hidup tatkala semua pihak masih berusaha menangani wabak pandemik pada masa ini.

”Dengan menggunakan model epidemiologi dan berdasarkan trend harian kes Covid-19 yang dilaporkan dari 1 Jun 2021 hingga 18 Jun 2021, diramalkan bahawa jumlah kes akan tetap meningkat dengan bilangan kes sekitar 2000-2500 dalam 2-3 minggu akan datang.

”Jika ditingkatkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan sebanyak 30%, jumlah kes harian dijangka meningkat menjadi sekitar 3500-3700 kes dalam 2-3 minggu akan datang.

”Justeru, keutamaan sekarang adalah untuk mengurangkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 melalui program vaksinasi,” kata Richard.

Tambah beliau, berdasarkan ramalan model ini, kemungkinan peningkatan kes tertinggi akan berlaku, oleh itu, persediaan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan ini perlu dibuat dan orang ramai disarankan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan tinggal di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk keluar. – MalaysiaGazette