Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keputusan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk dibangunkan belum dimaklumkan kepada parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu telah ditolak Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini.

“Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti. Malah pimpinan KEADILAN sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar memberikan maklum balas selepas media melaporkan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk dibangunkan.

Dalam laporan itu, kelulusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Ia dinyatakan Exco Alam Sekitar Negeri Selangor,  Hee Loy Sian semalam menurut laporan itu.

Justeru itu, PKR kata Anwar akan memanggil Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memberikan penjelasan.

“Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok,” katanya lagi.

Semuanya bermula apabila notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu. – MalaysiaGazette