Cermin kereta salah seorang penduduk turut pecah dalam kejadian bunuh di Taman Tun Hussein Onn, Perai, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai  lembing dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Tun Hussein Onn Seberang Jaya di sini semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun itu datang bersama sekumpulan lelaki bersenjatakan parang sebelum bertindak menyerang rumah suspek di tingkat dua pangsapuri berkenaan pukul 11.30 malam.

Kemudiannya berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak sebelum suspek yang berada di dalam rumah menggunakan senjata tajam untuk menyerang 10 lelaki yang berada di bahagian luar kediaman.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Mangsa dipercayai terkena tikaman pada bahagian dada susulan serangan balas daripada suspek tersebut.

Susulan itu, rakan mangsa menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut sebaik melihat lelaki itu berada dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan pada pukul 12.10 tengah malam.

Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan tompokan darah dipercayai milik mangsa.

Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 50-an yang merupakan anak serta bapa bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – MalaysiaGazette