KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedia mengatur gerak membantu meredakan situasi lima negeri yang mempunyai penularan jangkitan harian Covid-19 yang tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima negeri itu ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Seperti dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam, lima negeri ini mempunyai penularan jangkitan harian yang tinggi ketika ini.
“Sudah tentu usaha bagi mengurus dan meredakan situasi di lima negeri berkenaan akan menjadi keutamaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana seperti saya jelaskan semalam, antara perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional terutama memerangi Covid-19.
“ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diaturgerak pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia membantu kerajaan dengan mendirikan Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang akan dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia kata Hishammuddin, bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit Covid-19 khususnya yang berada dalam keadaan tahap 3 ke atas.
“Saya percaya, bantuan ATM ini akan berupaya membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri berkenaan.
“Selain itu, kita mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan semalam bahawa antara keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin di lima negeri berkenaan.
“Dengan ini, ATM bersedia membantu menyediakan tim vaksinasi ATM di negeri-negeri yang memerlukan khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM,” ujar beliau.
Tegas beliau, tidak sekadar di lima negeri berkenaan, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19 di negeri lain.
Ini termasuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas MKN hari ini.
“ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya. – MalaysiaGazette
moga ALLAH mudahkan segala urusan.AMIN