Melaka akan beralih kepada Fasa 2 berkuatkuasa Sabtu ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Melaka dan Negeri Sembilan akan melalui peralihan fasa bermula 4 September ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad.

Kata beliau, Melaka beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan kepada Fasa 3.

Rodzi Md. Saad

Sementara itu, beliau turut mengumumkan beberapa lokaliti yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 4 hingga 17 September ini.

Katanya, lokaliti PKPD itu ialah Taman Keramat dan Angkasa Apartment, di Kota Kinabalu, Sabah; Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong dalam Perkampungan Orang Asli di Temerloh, Pahang; Penjara Penor dan Rumah Kongsi Pinggiran Goh di Kuantan, Pahang; dan Kampung Sempalit, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Dalam pada itu, tiga lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu sehingga 17 September ini ialah Kampung Batang dan Kampung Blau di Perkampungan Orang Asli Pos Blau, Gua Musang; dan Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong, Pahang.

Mesyuarat MKN hari ini juga bersetuju untuk menamatkan beberapa kawasan Sabah, Pahang dan Kedah.

Kawasan itu ialah Kampung Pulau Penampang, Kota Kinabalu, Sabah; Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik, Tawau, Sabah; dan University Condominium Apartment 2 serta Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.

Turut ditamatkan ialah Perumahan Ladang Cepat Wawasan 7000 dan Perumahan Ladang Meridian Paitan di Perumahan Ladang di Beluran, Sabah; Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus di Telupid, Sabah.

Pahang pula melibatkan Kampung Orang Asli Sungai Lebak, Bentong dan Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi, Kedah. – MalaysiaGazette