KUALA LUMPUR – Untuk pertama kalinya, Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dengan kibaran Jalur Gemilang di bumi Gaza sempena penamaan Malaysia Street di sebuah jalan penting di tengah bandar itu.
Malaysia Street itu terletak berdekatan himpunan universiti, bangunan kerajaan dan agensi antarabangsa di Gaza.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, pemilihan lokasi itu menandakan penghargaan terhadap persaudaraan dan solidariti Malaysia bersama rakyat Palestin.
“Inilah hadiah paling besar Palestin buat kita sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-64 pada tahun ini.
“Sebahagian tanah Palestin kini dinamakan dengan nama negara kita, Malaysia,” katanya yang berkongsi kegembiraan itu menerusi aplikasi Telegramnya, hari ini.
Perasmian jalan pagi semalam disempurnakan dengan kehadiran Datuk Bandar Gaza, Dr. Yahya As-Sarraj; Pengarah MyCare di Gaza, Dr. Ziad Shehadah, Muhammad Nadi dan rakan media tempatan.
“Tahniah Malaysia! Kita sudah bertapak di Palestina!,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri. – MalaysiaGazette