Petugas kesihatan melakukan persediaan sebelum memberi suntikan vaksin kepada gelandangan sempena program Vaksinasi Covid-19 Gelandangan@WPKL di Anjung Kelana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2021.

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh,

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad atas perlantikan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu. Perlantikan ini sangat dialu-alukan dan diterima baik semua pihak lantaran latar belakang akademik yang baik sebagai bekas pensyarah UiTM serta pengalaman yang luas, khususnya berkaitan dakwah dan hal ehwal Islam di Malaysia.

Tanggungjawab sebagai menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam dalam suasana pandemik COVID-19 dan kegawatan politik negara pastinya memberikan suatu cabaran yang besar. Isu-su agama yang mendasari majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu ditangani dengan sebaiknya, manakala hak bagi rakyat bukan Islam pula perlu diberikan sesuai dengan peruntukan perlembagaan sedia ada.

Manakala dari aspek politik, perlantikan YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad yang merupakan muka baharu dalam senarai kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat membawa imej yang bersih serta mampu membawa paradigma baharu dalam pengurusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia. Harapan yang tinggi pastinya diletakkan oleh seluruh umat Islam di Malaysia agar kedaulatan agama Islam terus diangkat dan dipelihara, manakala isu-isu picisan yang merugikan agama Islam akan segera ditangani dengan sebaiknya.

Momentum awal sudah boleh dilihat melalui ucapan sulung Menteri Agama yang memperkenalkan inisiatif 5 Mantap iaitu pemantapan mental, jasmani dan rohani, sistem pendidikan Islam, institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam, institusi masjid dan surau serta sosio ekonomi ummah. Pengenalan Inisiatif 5 Mantap ini menjadi teras dalam tema pentadbiran hal ehwal Islam iaitu, ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’.

Tema pentadbiran hal ehwal Islam ini diangkat dan dijadikan sebagai panduan kepada semua agensi di bawah Menteri Agama antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia untuk melaksanakan dasar dan program menjurus ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Menariknya, inisiatif ini terus diarahkan untuk dilaksanakan segera tanpa tangguh. Bagi memastikan inisiatif 5 Mantap ini dapat dilaksanakan segera, YB Menteri Agama telah menetapkan dalam tempoh kurang daripada 10 hari, semua agensi di bawah Menteri Agama perlu merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau ringkasannya PIAGAM-C19 bagi menyelaraskan pelaksanaan inisiatif Mantap ini dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai badan induk yang menyelaras pengurusan agama Islam di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diamanahkan untuk mengetuai 14 agensi lain dan sebuah sekretariat khas akan diwujudkan oleh JAKIM bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. Pemilihan 5 aspek inisiatif ini dilihat cukup holistik dan mampu menaungi keseluruhan kepentingan pembangunan dan perkembangan umat Islam di Malaysia.

Bagi inisiatif pertama iaitu Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, fokus dan penekanan perlu diberikan kepada membina kembali kekuatan mental, jasmani serta rohani melalui pelbagai pendekatan seperti program yang menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama. Ini amat penting bagi memastikan kesediaan seluruh Keluarga Malaysia menerima hakikat pendemik Covid-19 yang dijangka akan kekal bersama kita untuk satu tempoh yang lama. Melalui inisiatif ini, adalah diharapkan seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam semakin kuat semangat, tidak berputus asa dan berfikiran positif dalam mendepani waktu getir yang melanda seluruh dunia ini.

Manakala bagi inisiatif kedua iaitu Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, segala mekanisme pengajaran dan pembelajaran kurikulum pendidikan seperti Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, pendidikan Sekolah Menengah Agama Rakyat dan negeri, pendidikan tahfiz dan pondok perlu dinilai kembali kesesuaiannya mengikut norma baharu pendidikan masa kini. Kajian terperinci boleh dilakukan dengan kerjasama pihak penyelidik universiti untuk meneliti, menilai dan seterusnya mencadangkan penyesuaian semula kaedah terbaik bagi sistem Pendidikan Islam di Malaysia. Penyelesaian segera ini dilihat amat perlu kerana di musim pendemik ini, aspek Pendidikan Islam ini seolah-olah dipinggirkan kerana tumpuan diberikan sepenuhnya kepada sistem pendidikan utama negara yang dianggap lebih penting dan menjamin masa hadapan.

Bagi inisiatif ketiga iaitu Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam pula, sebuah jawatankuasa bersepadu di peringkat persekutuan telah dicadangkan bagi menyelaras isu kekeluargaan, sosial dan komuniti ke arah membawa Keluarga Malaysia keluar daripada tekanan pandemik Covid-19. Pada masa yang sama, seramai 4,000 guru Takmir di bawah JAKIM di seluruh negara akan dimanfaat untuk menyantuni perkara ini. Aspek inisiatif ini juga mampu menangani isu kebejatan sosial yang melanda anak muda termasuk kelahiran anak luar nikah, LBGT, ajaran sesat, murtad dan sebagainya.

Inisiatif keempat iaitu Pemantapan Institusi Masjid dan Surau merupakan suatu langkah yang tepat. Masjid dan surau perlu dikembalikan fungsinya sebagai pusat setempat (one stop centre) bagi umat Islam khususnya dalam suasana pendemik ini. Walaupun majoriti masjid dan surau ditutup untuk beribadah, namun ia boleh dipelbagaikan fungsinya antaranya sebagai pusat penyaluran bantuan, pengumpulan maklumat, gerakan kesukarelawanan,  aduan dan kaunseling, pemberian vaksinisasi dan sebagainya.

Manakala inisiatif kelima iaitu Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah merupakan teras kekuatan umat Islam yang sebenar, namun tidak disedari oleh umat Islam itu sendiri. Sebagai penganut agama terbesar di Malaysia, umat Islam perlu sedar dan kembali menguasai ekonomi dalam negara. Inisiatif sosio ekonomi ini amat perlu diberi perhatian dan dijayakan melalui pelaksanaan yang menyeluruh khususnya melibatkan agensi-agensi ekonomi Islam di bawah seliaan Menteri Agama.

Pemerkasaan kembali instrumen kewangan sosial Islam iaitu zakat, sedekah dan wakaf amat perlu dilaksanakan segera. Melalui inisiatif ini, bantuan kepada golongan yang memerlukan mampu diselesaikan melalui instrumen zakat dan sedekah. Manakala instrumen wakaf pula mampu menjadi sektor ketiga negara dalam pembangunan infrastruktur sosial dan kebajikan, tanpa mengharapkan peruntukan kerajaan semata-mata tetapi dibina atas semangat sumbangan wakaf orang ramai demi kemaslahatan dan manfaat bersama.

Segala inisiatif yang dirancang ini sangat baik dan mampu memangkin perubahan yang signifikan kepada pembangunan umat Islam di Malaysia. Kejayaan pelaksanaan semua inisiatif ini boleh dicapai dengan mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik. Semua pihak terutamanya agensi kerajaan, swasta, badan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya diseru untuk turut sama menjayakan inisiatif ini bersama. Kejayaan pelaksanaan inisiatif ini akan memberikan impak yang besar kepada negara khususnya umat Islam dan tidak terkecuali bukan Islam yang pasti akan turut sama merasai kebaikan daripadanya.

Oleh: Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.