SHAH ALAM – Tiga pengerusi parti komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor bertemu pagi ini, membincangkan isu berkaitan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Perjumpaan enam mata itu melibatkan Pengerusi Parti Keadilan Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; dan Pengerusi Amanah Selangor, Ir. Izham Hashim.
Dalam perjumpaan itu, semua pihak telah menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing serta bersetuju supaya Amirudin membawa isu berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini untuk dipertimbangkan halatuju dan keputusan.
Pada masa sama, bantahan terhadap cadangan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar.
PH Selangor mengambil maklum bahawa PJD Link belum diluluskan oleh kerajaan negeri.
Malah, mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuhraya KIDEX atau seumpama dengannya.
Mereka bertiga komited dalam menjunjung semua prinsip asas PH berkaitan alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman serta panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri.
Pagi tadi juga, lapan NGO kemanusiaan berkumpul di hadapan pintu masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung keputusan kerajaan negeri menyahwartakan lebih 500 hektar tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
NGO berkenaan, termasuk masyarakat Orang Asli membantah keputusan itu dan mahu kerajaan negeri membatalkan penyerahan tanah hutan simpan itu kepada sebuah syarikat dari Johor. – MalaysiaGazette