Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Hanya tiga lokaliti disenaraikan kawasan yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 5 hingga 18 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti itu ialah Taman Samudera di Seri Manjung dan Kampung Orang Asli Sungai Cincin di Batang Padang, Perak.

Katanya, kawasan sekitar Pekan Padang Tengku dalam Mukim Gua, Lipis, Pahang juga turut dikenakan PKPD mulai Ahad ini.

“PKPD Mukim Gua ini turut meliputi Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia serta deretan kedai Pekan Padang Tengku,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, dua kampung di Kota Belud, Sabah dilanjutkan PKPD selama dua minggu sehingga 18 September ini, iaitu Kampung Labuan dan Kampung Ambung Tolus.

Bagi lokaliti yang ditamatkan pelaksanaan PKPD bermula esok ialah Kampung Menunggui, Kampung Sayap, dan Kampung Tuguson di Kota Belud, Sabah.

Turut ditamatkan ialah Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari, Felda Sahabat 48 di Lahad Datu; Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria di Tawau, dan Kampung Tangkuyan di Kinabatangan, Sabah.

Di Pahang pula melibatkan Taman Balok Makmur, Sungai Karang, Kuantan; dan Flat Damai Taha di Temerloh. – MalaysiaGazette