Seorang pejalan kaki sedang melalui hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2020 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan baharu pengurusan kanannya dengan pelantikan Sazaliza Zainuddin sebagai ketua pegawai operasi.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Naim Daruwish bersara setelah berkhidmat bersama KWSP selama hampir tiga dekad dan berperanan penting dalam memperkukuhkan operasi KWSP, termasuk ketika tempoh sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.

Mohd Naim mula berkhidmat dengan KWSP pada tahun 1992 sebagai Pengurus di Bahagian Pendakwaan/Litigasi dan telah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Penguatkuasaan, Ketua Perundangan, dan Ketua Caruman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada tahun 2014.

Kerjayanya bermula pada tahun 1985 sebagai Majistret dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Sazaliza telah mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi mulai 1 September 2021, pernah berkhidmat di PricewaterhouseCoopers dari tahun 1997 hingga 2006, sebelum memulakan kerjaya bersama KWSP pada tahun 2006 sebagai Ketua Akaun di Jabatan Kewangan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Kewangan, Ketua Pengurusan Perolehan, dan Ketua Audit Dalaman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada tahun 2017.

Sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu, beliau akan menyelia portfolio perkhidmatan operasi dan fungsi sokongan, dengan penekanan khusus terhadap pengurusan prestasi, penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan juga keperluan kontrak.

Dengan perubahan portfolio Sazaliza, Mohamad Hafiz Kassim dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Kewangan mulai 1 Ogos 2021.

Mohamad Hafiz yang merupakan seorang akauntan, sebelum ini telah berkhidmat dengan PricewaterhouseCoopers dan Daiwa Capital sebelum menyertai KWSP pada tahun 2008.

Di KWSP, beliau pernah mengetuai Jabatan Pelaburan Hartanah, Jabatan Pasaran Modal, dan Jabatan Ekuiti Persendirian.

Sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Mohamad Hafiz akan bertanggungjawab memastikan operasi Bahagian Kewangan dan Perkhidmatan berjalan dengan cekap dan berkesan. – MalaysiaGazette