Ahmad Zahid Hamidi Klang Valley Covid-19 vaccination risk
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan tidak memperlahankan usaha mengurangkan kadar jangkitan walaupun selepas mengisytiharkan fasa pandemik Covid-19 telah berakhir.

Presiden UMNO itu berharap, jangkitan Covid-19 di Malaysia yang mahu diumumkan memasuki fasa endemik, seiring dengan kadar jangkitan dan kematian yang rendah.

Justeru, katanya, usaha membendung penularan harus terus dipergiat meskipun rakyat akan diminta menerima hakikat mereka perlu hidup dengan virus berkenaan.

“Memandangkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selepas fasa pandemik ditukar kepada endemik, aspek pematuhan SOP perlu diperhebat dan diperkasa.

“Tahap ancaman virus Covid-19 dikatakan sudah tidak begitu berbahaya kepada penerima lengkap dos vaksin, namun risiko kesihatan tetap ada.

“Kita tidak mahu begitu ramai penduduk Malaysia jatuh sakit saban hari kerana pada akhirnya ia tetap menjejaskan produktiviti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, aktiviti perniagaan boleh terus terganggu apabila kerap wujud kluster di tempat kerja.

Katanya, teruslah berpegang kepada prinsip mencegah itu lebih baik daripada mengubati. – MalaysiaGazette