Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjanji akan meneruskan kesinambungan perancangan kerja yang dirangka sebelum ini sepanjang pentadbiran sekarang.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari April hingga awal Ogos lalu, sebanyak 10 duta negara Asia Barat telah ditemui dan menjalin kerjasama dari segi politik, ekonomi dan pendidikan.

“Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan semula saya sebagai Duta Khas ke Timur Tengah oleh Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu.

“Saya akan teruskan perancangan kerja yang telah saya laksanakan sebelum ini ketika Muhyiddin akan diteruskan.

“Perancangan telah ada dan sudah bertemu dengan 10 duta, Azerbaijan, Mesir, Iraq, Arab Saudi, Jordan, Syria, United Arab Emirates (UAE), Oman, Qatar. Itu termasuk dalam Asia Barat,” katanya hari ini.

Khamis lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, khidmat Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Asia Tengah disambung berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dipersetuju Mesyuarat Kabinet pertama bawah pimpinan Ismail Sabri pada Rabu.

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, oleh kerana sekarang pandemik Covid-19, maka perhubungan diplomatik dengan duta berkenaan sudah dibuat dan susulannya telah dilakukan oleh menteri-menteri.

“Menteri-menteri sudah melawat ke negara ini dan sebahagiannya sudah dilaksanakan, antaranya dagangan minyak kelapa sawit.

“Kita semua tahu harga minyak kelapa sawit telah naik, itu hasil ‘follow up’ dari pertemuan ini dan termasuk dalam soal pendidikan di Mesir, Jordan dan lain-lain.

“Ini termasuk juga kerjasama membantu rakyat Palestin, membantu dengan lancar. Jadi, kerja telah dibuat, menyambung kerja sayalah,” katanya.

Kata beliau, duta berkenaan telah mengalu-alukan pelantikan semula itu, selain akan mengeratkan hubungan dengan NGO serta kenalan di Asia Barat bagi memudahkan urusan kerjanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Haaa..lawak lah ko nak justify kan perlantikan sia2 yg menghabiskan duit rakyat ni…kalau setakat jumpa duta2 negara asing, menteri luar pun boleh buat…rakyat nak tau…ko dah bawa berapa banyak pelaburan asing ke Malaysia dari Asia Barat? Berapa billion? Nak tgk output bukan sembang jaa..setakat duk sembang dgn duta, lepas tu dub con kat menteri utk follow up..senanglah hidup ko…aku tanya satu jaa…ko tak malu kah makan gaji buta? tak rasa berdosa kah??

Comments are closed.