Pesawat pejuang dan helikopter akan terbang rendah sepanjang latihan dan demonstrasi bermula hari ini hingga 8 September 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Latihan dan Demonstrasi Keupayaan Operasi Khas bermula hari ini hingga 8 September ini.

Kenyataan dari Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, kawasan latihan dan demonstrasi itu melibatkan kawasan Pantai Hiburan dan sekitar bandar Kuala Rompin, Pahang.

Sepanjang latihan, pesawat pejuang dan helikopter TUDM akan melaksanakan penerbangan rendah serta membuat penerbangan taktikal bagi latihan demonstrasi keupayaan khas tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat TUDM terbang rendah dan jika terdengar bunyi letupan atau tembakan senjata api di sepanjang tempoh latihan.

“Latihan ini diadakan oleh TUDM bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette