Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (JKKPH) mencadangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menetapkan semula (reset) pengurusan Covid-19 secara pendekatan penggembelengan nasional.

Ia bagi menangani isu rumit pandemik itu untuk jangka masa pendek dan panjang.

Dalam kenyataan bersama, JKKPH berharap pendekatan reset terhadap Covid-19 perlu berdasarkan bukti dan fokus kepada perkara asas pengawalan penyakit berjangkit berpandukan kepada kejadian serta pengalaman sebenar dan kepakaran semua rakyat Malaysia.

Ini kata mereka, termasuk pelaburan penting mengukuhkan kapasiti kesihatan awam dalam implimentasi strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan vaksinasi (V), yang harus dijalankan secara bersama, bukannya berasingan.

“Selari dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya setiap kementerian membuktikan pencapaian dalam masa 100 hari, kami mencadangkan 10 Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketara untuk mengukur keberkesanan strategi FTTIS+V yang diambil oleh kementerian dalam menguruskan kes Covid-19, kematian, kapasiti hospital dan sebagainya.

“Parameter ini adalah matriks yang boleh dikira dan boleh digunapakai untuk menilai Prestasi Kementerian Kesihatan pada bulan akan datang dalam mengurus pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JKKPH dianggotai Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Amanah), Dr. Lee Boon Chye (PKR), Dr. Ong Kian Ming (DAP), Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli (Amanah), Dr. Kelvin Yil (DAP), Sim Tze Tzin (PKR), Alice Lau (DAP), Dr. Siti Mariah Mahmud (Exco Selangor), Dr. Norlela Ariffin (Exco Pulau Pinang), V. Supramaniam (Exco Negeri Sembilan), Dr. Niekmah Adam (Amanah) dan Dr. Zaliha Mustafa (PKR).

Strategi FTTIS+V yang dicadangkan JKKPH ialah;

CARI – Integrasi teknologi dan penambahbaikan keberkesanan sistem pengesan automatik seperti sistem HIDE sekarang yang digunakan untuk meramal kawasan panas sekurang-kurangnya 14 hari ke hadapan. Ini dapat dicapai melalui intervensi dan pengamalan SOP yang sesuai dan seterusnya boleh mengurangkan kawasan panas baru yang ketara (~70%).

UJI – Strategi Pengujian Kebangsaan dalam memastikan kadar ujian kebangsaan berada di bawah 5% melalui penambahgunaan RTK Ag dalam komuniti. Pihak kementerian haruslah meluaskan sasaran dengan kadar 250,000 ujian sehari sehingga kadar yang bergejala positif dapat diturunkan di seluruh negara dalam jangka masa yang ditentukan.

KESAN – Menambahbaikan kapasiti kontak kesan digital MySejahtera agar dapat mengesan sekurang-kurangnya 80% kontak rapat dalam masa 24 jam. Pencapaian ini dapat mengurangkan “kes-kes sporadik” di dalam komuniti secara ketara.

ASING – Mengurangkan masa pengasingan dan kemasukan kepada kurang dari 24 jam dari waktu dikesan. Ini termasuk menyediakan mekanisme untuk pengasingan ataupun pantas mengeluarkan “Arahan Pengawasan di Rumah” secara digital kepada profile pengguna MySejahtera dalam masa 24 jam selepas dikesan.

SOKONG – Kerajaan harus membekalkan “Kit Penjagaan Kendiri” termasuk oximeter, thermometer dan kit ujian sendiri terutamanya bagi komuniti B40 dan M40. Sokongan fiskal untuk golongan B40 dan komuniti pendapatan rendah yang berada dalam kuarantin juga digalakkan. Ini termasuk penggabungan Gabungan Nasional Kesihatan Mental dengan komuniti yang paling rapat dengan Sokongan Sosial Psaikologi dan Kesihatan Mental (MHPSS).

Mengurangkan kadar kejadian kepada bawah 55 per 100 ribu dan menambah kajian genomik kepada lebih dari 2 peratus supaya dapat mengawalselia perubahan virus kepada varian baru. Dengan cara ini kita dapat memahami bagaimana ianya memberi impak terhadap kesihatan dan komuniti.

Mengurangkan Kes Kadar Kematian (CFR) dari sekitar 0.94 peratus kepada 0.5 peratus dan mengurangkan jumlah Dibawa Masuk Mati (BID) dari 22 peratus kini sehingga kurang dari 10 peratus.

Mencapai Penghunian Katil Hospital kepada bawah 70 peratus dan katil ICU Covid-19 kepada bawah 50 peratus di seluruh negara serta servis kesihatan tanpa gangguan untuk kes Covid-19.

Liputan vaksinasi lengkap sebanyak 80 peratus di seluruh negara dan pelan dos penggalak untuk individu berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, barisan hadapan dan pesakit berkomorbiditi.

Ketelusan dan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular Covid-19 melalui GitHub bagi sesuatu daerah atau mukim. Ini termasuk juga kerjasama yang lebih baik dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam pengurusan Covid-19.

Menurut JKKPH, dalam masa 100 hari akan datang, 10 asas KPI itu akan menentukan penanda aras dalam menangani Covid-19.

“Ia bukan sahaja akan memperluaskan liputan vaksin, tetapi akan mengawal virus ini dari merebak dan menyah keluar sebarang kluster tersembunyi di dalam sesebuah komuniti.

“Barulah strategi endemik jangka panjang boleh diwujudkan setelah asas kesihatan awam dipatuhi dan kapasiti penjagaan kesihatan diperkuatkan.

“Semua ini boleh dicapai melalui kerjasama yang lebih kukuh dan terbuka dengan semua pihak terbabit di dalam sektor swasta, akademik, NGO dan juga pihak pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette