Bayi perempuan yang disyaki baru dilahirkan 12 jam lalu dan bertali pusat uri ditinggalkan atas rumput di rumah kongsi Taman Ara Sendayan Seremban dalam kejadian hari ini.- Gambar Ihsan IPD Seremban.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan tanpa seurat benang di kawasan berumput berhampiran rumah kongsi di Seremban hari ini.

Insiden menyayat hati itu dikesan oleh seorang awam di Precint 3, Taman Ara Sendayan yang kebetulan melalui tempat itu sebelum terkejut dengan penemuan bayi yang masih bertali pusat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 pagi.

“Bayi yang masih bertali pusat ditemui lelaki tempatan yang lalu di kawasan itu sebelum memanggil polis dan memaklumkan bahawa dia jumpa bayi masih bernyawa dan meminta bantuan segera.

“Berdasarkan keadaan fizikal, bayi berkenaan dipercayai dilahirkan kurang dari 12 jam lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kawasan rumah kongsi Taman Ara Sendayan Seremban lokasi bayi perempuan masih bertali pusat ditemui atas rumput oleh individu yang kebetulan melalui kawasan itu dalam kejadian hari ini. Gambar Ihsan IPD Seremban.

Tambah Mohd Said, bayi itu bernasib baik kerana terselamat namun terdapat kesan gigitan serangga di badannya.

“Polis masih belum dapat mengenalpasti bangsa bayi berkenaan dan sudah dirujuk ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau ornag bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun mendedahkan dan membuang bayi berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh tampil ke hadapan memberi kerjasama kepada mana-mana balai polis berhampiran memberikan maklumat bagi membantu siasatan kes ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette