Home Nasional 2 lelaki aktif curi ekzos kenderaan dicekup

2 lelaki aktif curi ekzos kenderaan dicekup

AMPANG – Dua lelaki yang gagal melarikan ekzos yang berjaya dipotong daripada sebuah kenderaan milik individu ditahan di Sungai Besi lewat malam tadi.

Ketua Polis daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 24 dan 25 tahun itu cuba mencuri ekzos itu di tempat parkir hotel di sini, semalam.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak sempat mengambil ekzos berkenaan selepas disergah oleh pemiliknya menyebabkan suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

“Hasil tangkapan suspek-suspek itu polis berjaya merampas dua tabung ekzos, dua penyambung tabung ekzos, pelbagai peralatan membuka ekzos, gergaji besi bermotor dan sebuah kereta jenis Proton Iriz.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif mencuri tabung ekzos bagi mendapatkan besi platinum sebelum menjualnya di pasaran gelap,” kata beliau menerusi satu kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, mereka juga mengaku mereka sudah beberapa kali mencuri tabung ekzos di sekitar Ampang dan Kajang.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan ke atas mereka untuk mengenalpasti penglibatan suspek bagi lain-lain kes di dalam daerah Ampang dan luar daerah.

“Polis akan memohon reman terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan sebelum ujian saringan air kencing dilakukan,” ujarnya.

“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi itu diminta tampil untuk membuat laporan polis untuk membantu siasatan,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) dan 511 Kanun Keseksaan.

Kejadian kecurian yang dilakukan oleh dua suspek itu tular di media sosial.

Mohamad Farouk berkata, ketika pengadu berada di pejabat di Ampang Jaya, dia telah terima panggilan telefon dan kiriman video daripada kawannya yang menunjukkan terdapat dua suspek lelaki membuat sesuatu pada keretanya jenis Toyota Innova.

Pengadu yang menyedari insiden itu segera ke tempat letak kereta sebelum menegur kedua-dua suspek itu yang memberi alasan kononnya membaiki Innova tersebut dan beredar segera menaiki kereta Proton Iriz selepas menyedari perbuatan mereka dirakam orang awam.- MalaysiaGazette