SEPANG – Mangsa gangguan seksual tidak perlu menunggu Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dibentang di Parlimen untuk membuat laporan sekiranya menjadi mangsa jenayah itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkara, mangsa boleh terus membuat laporan kepada pihak berkuasa atau talian Kasih untuk mendapatkan bantuan.
“Sekiranya ada gangguan seksual, pasti aduan boleh terus dibuat, bukan nak kena ada RUU baru
“Adakah orang yang kena rogol itu tak perlu buat aduan dan duduk diam.
“Boleh terus buat aduan, tidak perlu ada Akta yang perlu dibentangkan ke Parlimen, sementara kita tunggu dibentangkan, apa akan jadi dengan masyarakat.
“Dia boleh pergi ke balai polis atau talian Kasih, malah kita ada banyak saluran untuk dibuat aduan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bakul Prihatin Negara di Sungai Pelek, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang berkaitan jenayah gangguan seksual di Parlimen secepat mungkin.
Menurut KMUM, kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak semakin meningkat serta tiada langkah penyelesaian yang diberikan untuk menangani masalah itu.
KMUM juga mendakwa, mahasiswa universiti turut menghadapi masalah gangguan seksual namun tiada undang-undang dapat dipertahankan hak mahasiswa.
Dalam pada itu, Rina juga berkata, sementara menunggu RUU Gangguan Seksual dibentang dan diluluskan di Parlimen, pihak berkuasa boleh menggunakan Kanun Keseksaan untuk mengambil tindakan.
“Kita ada Kanun Keseksaan sedia ada.
“Saya harap mangsa pergi buat aduan, kena bagi tahu, kena terus buat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette