Cermin kereta salah seorang penduduk turut pecah dalam kejadian bunuh di Taman Tun Hussein Onn, Perai, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Reman terhadap dua beranak yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki menggunakan lembing di sebuah pangsapuri di Taman Tun Hussein Onn, Seberang Jaya, di sini pada 1 September lalu disambung tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, anak lelaki dan bapanya itu disambung reman sehingga 15 September depan bagi membantu siasatan.

Shafee.

“Permohonan lanjutan reman terhadap dua beranak itu dibuat hari ini bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua beranak ditahan kes bunuh lelaki guna lembing

MalaysiaGazette baru-baru ini melaporkan seorang lelaki maut akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai lembing dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Tun Hussein Onn Seberang Jaya di sini.

Difahamkan mangsa berusia 29 tahun itu datang bersama sekumpulan lelaki bersenjatakan parang sebelum bertindak menyerang rumah suspek di tingkat dua pangsapuri berkenaan pada jam 11.30 malam.

Berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak sebelum suspek yang berada di dalam rumah menggunakan senjata tajam untuk menyerang 10 lelaki yang berada di bahagian luar kediamannya.

Mangsa dipercayai terkena tikaman pada bahagian dada susulan serangan balas daripada suspek tersebut. – MalaysiaGazette